Thursday 16 June 2011

MAHAR CINTA

“Ani tak bersedia lagi mak. Ani tak mau dikecewakan lagi. Please!” rayu Dahnia. Mutiara jernih gugur di pipinya namun sempat diseka Dahnia. Memang kelat rasa air liurnya untuk ditelan melihat wajah Puan Zahnita yang mencuka itu. 
Suka sangat merajuk! Aku tak boleh kalah dengan pujuk rayu mak! Aku tak mahu sehidup semati dengan jejaka bukan pilihan sendiri!

Kau nak jadi anak derhakakah?! Dia ibu kamu. Tidak kasihankah kau?! Syurga terletak di telapak kaki ibu. Mau kau macam ni, neraka jahanamlah tempatnya! Seakan terdengar bisikan halus yang bertepuk-tepuk di cuping telinganya. 

“Sampai bila Ani nak bersedia? Jangan sampai mak sudah tutup mata baru Ani nak menyesal” ujar Puan Zahnita berbaur ugutan.
“Tapi..”
“Tak payah bertapi-tapi. Mak tahu, kau masih ada hati dengan Faris kan? Dia sudah kahwin, Ani. Sedarlah sikit!” serkap jarang Puan Zahnita mengena. 

Dahnia tertunduk. Tiba-tiba terasa hangat badan Dahnia menyelimut dirinya. Sedar tak sedar, Dahnia sudah berada dalam pelukan kasih Puan Zahnita. Kehangatan kasih sayang yang menyelubungi diri Dahnia membuatkan dirinya hampir menyerah. Akhirnya Dahnia tewas.

“Sayang”

Kedengaran suara garau dari belakang menyebabkan Dahnia tersentak daripada lamunannya. Suara Faizal. Ya! Faizal. Lelaki yang tidak pernah dicintai yang kini menemani hidupnya. Semuanya salah aku! Bodoh sangat termakan rayuan mak! Nak sangat jodohkan aku dengan anak sahabat akrabnya. Tiba-tiba aku teringat akan nasihat Ustazah Kamsiah.

“Hidup ni, kita tak boleh expect tau. Anything can happen. Sebab itulah kita sebagai umat islam perlu beriman dengan Qada’ dan Qadarnya supaya lebih redha menjalani ujian hidup. Setiap perjalanan hidup ini sudah ditentukan Allah. InsyaAllah ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa diri” ulasan Ustazah Kamsiah yang melebar itu masih terngiang-ngiang di ruang sudut fikirannya.

“Ayang!” ujar Faizal separuh menjerit. Dahnia tersentak dari lamunan buat kedua kali. Matanya terkebil-kebil melihat suaminya. 

“Malam esok kita akan bertolak ke rumah kawan baik abang. Ada majlis kesyukuran”

Dahnia berkira-kira mahu menolak ajakan suaminya. Teringatkan dia akan bersendirian di rumah jika menolak, terpaksalah Dahnia mengangguk perlahan-lahan. Tiada senyuman terukir. Alat kawalan jauh di hadapan Dahnia dicapai pantas. Berulang-ulang kali butang pada alat kawalan jauh ditekan memilih siaran yang belum pasti. Terasa dirinya diperhatikan lantas Dahnia mengerling ke arah Faizal. Serta-merta mereka bersabung pandang. Wajah Dahnia berubah merah. Terasa hangat sekali darah yang mengalir di badan.

“Kenapa abang pandang macam tu?” Dahnia mencebik.

“Suka hati abang lah. Ani kan isteri abang.” Faizal tersenyum nakal.

“Abang!”

“Kenapa? Tak suka abang pandang? Biarlah abang nak tengok isteri abang yang cantik ni.” Faizal merenung tepat ke arah lirikan mata berwarna coklat sedikit pekat.
 Dahnia tertunduk malu. Memang Dahnia isteri abang. Tapi hati Dahnia bukan untuk abang. Maafkan Dahnia. Keluh hati kecilnya.
....................................................................................................................................................................
Ramai tetamu yang hadir pada majlis kesyukuran. Pemandangan air terjun buatan menyerikan suasana. Taman mini di halaman rumah menjadi tarikan tetamu untuk menjamu mata dengan keunikan ukiran kerusi kayu. Kelihatan sepasang penyambut tetamu berdiri bertentangan taman mini. Masing-masing mengukir senyuman ceria. Faizal memberikan salam sebelum berpelukan dengan seorang lelaki di hadapannya.

“Waalaikumussalam”

Dahnia tersentak. Terasa berderau darah yang mengalir. Jantung berdegup kencang. Dahnia membutangkan mata apabila melihat raut wajah yang di cintai, di sayangi sekian lamanya muncul di hadapan. Terasa kelat sekali Dahnia meneguk air liurnya.

“Perkenalkan ini isteri saya, Dahnia. Dahnia, ini sahabat akrab abang, Faris” ujar Faizal melemparkan senyuman.
Dahnia segera mengangguk bagaikan baharu pertama kali berkenalan dengan Faris. Senyuman yang terukir di bibirnya tiada keikhlasan.

“Abang dah tak cinta Ani lagi?!” Dahnia separuh menjerit. Mutiara jernih yang mengalir dari kolam mata tiada dihiraukan lagi.
“Abang masih cintakan Ani” pengakuan berani Faris.
“Habis tu abang nak biarkan lelaki lain yang meragut kebahagiaan kita?! Abang kejam!”
“Abang tak mahu rosakkan kebahagiaan Ani bersama Faizal. Abang tak mahu tanggung dosa besar gara-gara merobohkan masjid. Abang pun dah beristeri.” Suara Faris mendatar.
“Ani boleh minta fasakh!”

Terjegil mata Faris mendengar ungkapan spontan Dahnia. Kaget dengan rancangan Dahnia yang terburu-buru.

“Jangan jadi bodoh! Istighfar Ani. Kita dah tak ada jodoh. Terimalah takdir Allah ini. Mungkin abang bukan suami yang baik untuk Ani. Faizal lebih berhak. Sayangilah dia! Abang akan cuba hapuskan perasaan sayang abang terhadap Ani. Kita sama-sama berusaha! Kasihanlah Khalidah. Dia pun sudah berbadan dua. ”panjang lebar  Faris membangkang keputusan Dahnia.

“Sayang”

Dahnia tersentak. Kabur terus peristiwa lama yang mengganggu ingatan. Jari-jemari Faizal menyulam mesra tangan Dahnia. Bagaikan lembu dicucuk di hidung, Dahnia mengorak langkah perlahan-lahan bersama Faizal menuju ke ruang kamar.

“Eii..Comelnya baby boy ni” Faizal tersenyum melihat gelagat bayi di pangkuannya.
“Habis, kau tu bila lagi?” Faris berseloroh.

Faizal mengeluh panjang sebelum menjungkitkan bahu. Nak timang anak? Jauh panggang dari api. Hampir tiga bulan bersama namun hak mereka sebagai pasangan suami isteri tidak pernah terlaksana. Semuanya kerana Dahnia yang belum bersedia. Faizal pula tidak pernah memaksa.
....................................................................................................................................................................

 Dahnia merebahkan tubuh lesunya di atas katil. Matanya sengaja dipejam rapat berpura-pura tidur. Dia tidak mahu Faizal membuka bicara. Malas Dahnia untuk melayan karenah suaminya. Fikirannya kacau! Semuanya kerana Faris! Kuyup pipinya dibasahi air mata. Esakkan kecil Dahnia kedengaran di gegendang telinga Faizal lantas bangkit menghampirinya.

“Kenapa ni sayang?”ujar Faizal manja. Rambut ikal mayang isterinya diusap-usap lembut. Belaian manja Faizal segera ditepis. Faizal terkesima.
“Ani tak pernah sayangkan abang! Jangan bersayang-sayang dengan Ani.”
“Tapi abang cintakan Ani”
“Itu kata abang. Kata Ani?! Perasaan sayang dalam diri Ani tak pernah wujud untuk abang!”

Faizal tersentak. Habis, untuk siapa cinta dan kasih kau tu?! Faizal mengancingkan gigi. Segalanya sudah terbongkar setelah Faris menceritakan kisah silamnya bersama Dahnia sebagai pasangan kekasih sebelum Faizal menikahi Dahnia. Nasib baik aku hadirkan diri ke majlis kesyukuran tadi. Kalau tidak, sampai mati pun aku tak akan tahu fasal ni!

“Perasaan cinta kau tu hanya untuk Faris aje kan?!” Faizal mula meninggikan suara.

Dahnia terdiam.Berderau darahnya. Inilah kali pertama Faizal berkau aku dengannya.Nada suaranya yang kasar menggari Dahnia dengan perasaan takut. Pandangannya dialihkan ke suatu sudut yang lain. Dia tidak memberanikan diri untuk bertentang mata dengan Faizal.

“Betul cakap kau. Perasaan sayang kau memang  tak pernah wujud untuk aku. Kalau aku mati sekalipun, kau tak akan peduli kan?! Baiklah..” sambung Faizal. Kunci kereta Toyota camry segera dicapai di atas meja hujung sudut katil.

Keretanya laju memecut keluar. Kepala Faizal menggerutu! Hiba perasaan Dahnia semakin bergelora. Tomahan Faizal bagaikan menampar-nampar cuping telinganya. Hati Dahnia dipercik rasa walang yang bertali arus. Hasratnya untuk mencontohi Siti Khadijah binti Khuwailid, isteri kesayangan Nabi Muhammad S.A.W sehingga dicemburui Siti Aisyah punah-ranah. Kau menderhaka kepada suami! Kau tak layak menghidu wangian syurga! Bisikan itu meremuk-redamkan lagi hati Dahnia yang lara. Dalam tidak sedar, Dahnia terlena diiringi sedu-sedannya.
....................................................................................................................................................................

Kring!! Kring!! Dahnia dikejutkan dengan deringan telefon rumah. Segera Dahnia bangkit berlari-lari anak meluru ke arah ruang tamu.

“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Faris?” Dahnia segera tertangkap suara garau di talian.
 “Khalidah dan saya akan datang menjemput Ani pukul 9.00 pagi nanti.” ujar Faris. Suaranya dikawal bersama getaran yang mendebarkan jantung. Tidak sempat Dahnia berbalas bicara, talian telah diputuskan. 

Dada Dahnia berombak kencang. Fikirannya berserabut! Kejadian semalam belum selesai, timbul pula yang baharu. Apa pula kali ini? Dahnia mengetap bibir.
Kelihatan sebuah Toyota supra dipakirkan di halaman rumahnya. Dahnia berdiri di balik dedaun pintu sudah menyarungkan tudung di kepala untuk bertolak pergi. Sesekali Dahnia menjeling ke arah teratak mewahnya yang kelihatan samar-samar hilang daripada pandangan.

“Kita nak ke mana, Faris?”
“Hospital”
Berkerut dahi Dahnia tidak mengerti.
“Faris dan Khalidah nak lawat sesiapa ke?”

Mereka berpandangan sesama sendiri.  Takut-takut diluah mati emak ditelan mati bapa.

“Maafkan kami, Ani. Kami tidak berniat untuk merahsiakan daripada Ani.” Faris spontan bersuara.
“Rahsiakan apa?” soal Dahnia semakin tidak mengerti.
“Semalam Faizal kemalangan. Dia..” 

Suara Faris terhenti apabila Khalidah tiba-tiba merangkul lengannya melontarkan isyarat. Berkaca-kaca mata kuyu Dahnia membendung air jernih yang ingin meleleh keluar dari kelopak mata. Dahnia mengetap bibir. Dia masih dihantui rasa bersalah. Maafkan Ani, abang! Getus hatinya.

Dahnia berjalan mundar-mandir di hadapan pintu wad kecemasan. Dia berasa tidak selesa apabila melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Rasa tidak tenang terus mencengkam dirinya walaupun ingin berdiri statik di suatu sudut.Hatinya gelisah. Faris dan Khalidah turut sama membisu. Masing-masing mempamerkan riak kerisauan. Sudah dua jam menanti, benar-benar membuatkan Dahnia mahu sahaja merempuh masuk pintu wad itu. Perasaan ingin tahu perkembangan suaminya membuak-buak.

Ya Allah, selamatkanlah Faizal. Janganlah Kau ambil nyawanya sebagaimana Kau telah ambil nyawa kedua-dua ibubapa ku. Doa Dahnia di dalam hati. Sesekali Dahnia melangkah menghampiri pintu wad. Cuba untuk mengintai di celah-celah cermin kecil pada pintu wad namun harapannya meleset. Tiada langsung ruang untuknya melihat situasi di dalam. Dahnia semakin tidak tentu hala. Pandangannya itu dialihkan ke arah Khalida dan Faris yang terus melabuhkan punggung mereka di atas kerusi.

“Kenapa lambat sangat ni, Ida?”
“Bersabarlah Ani. InsyaALLAH nanti ada lah berita. Kuatkan semangat!” dorong Khalida.
....................................................................................................................................................................

Pohon-pohon menghijau memenuhi ruang pada waktu itu. Suasana itu amat menenangkan fikiran Faizal. Di manakah tempat ini? Hati Faizal tertanya-tanya. Setelah berpusing, kelihatan Dahnia sedang melabuhkan punggung disisinya. Bibirnya yang merekah menguntumkan senyuman manis. Faizal membalas senyuman. Terasa menjalar tangan Dahnia merangkul pinggangnya. Kepalanya tersandar di bahu Faizal. Tangan Faizal melingkari erat seluruh bahu Dahnia seolah-olah tidak mahu melepaskannya pergi. Pelukan yang erat tiba-tiba menjadi longgar. Dahnia kelihatan semakin jauh daripada pandangan mata. Faizal kaget.

“Abang”

Faizal tersedar. Kelopak matanya dibuka perlahan. Pandangan yang kabur semakin terang. Melilau matanya pada syiling putih, kini beralih arah pada kelibat tubuh di sisinya. Tangan Dahnia menyimpul kasih pada jari-jemari Faizal. Genggamannya tidak berbalas. Tubuh Faizal terasa lemah.

“Kat mana ni?”
“Abang kat hospital.” Jawab Dahnia tenang.

Faizal membutangkan matanya apabila melihat kedua-dua kakinya berbalut tergantung. Nasib baiklah nyawa Faizal tidak melayang sebaliknya hanya anggota kaki menjadi mangsa.

“Abang mesti banyak berehat. Barulah cepat sembuh. Ani…”
“Ani sayangkan abang?”

Dahnia terdiam. Matanya terkebil-kebil membalas pandangan Faizal. Wajahnya tiba-tiba berubah merah. Dahnia tertunduk.

“Tak apalah kalau Ani tak sayangkan abang. Biarkan abang mat…”

Kata-kata Faizal mati disitu. Jari telunjuk Dahnia yang halus meruncing melekat di bibir Faizal. Dahnia mengeleng perlahan-lahan. Memberi isyarat agar Faizal tidak menyambung percakapannya lagi. Hatinya disapa rasa sebak yang menikam-nikam. Akhirnya air jernih dari kolam matanya mengalir ke wajah.

“Ani tidak mahu kehilangan abang. Cukuplah dengan pemergian mak dan ayah. Ani dah cukup terseksa. Cinta dan sayang pada Faris sudah lenyap dari hati Ani. Percayalah!”
Dahnia tersedu-sedan. Bersungguh-sungguh meluahkan kata-kata. Cupp!! Ada satu ciuman kasih hinggap di dahi Dahnia. Sentuhan itu memaksa Dahnia mengangkat wajahnya memandang Faizal.

“Abang percaya. Tak apalah kalau perasaan sayang Ani belum hadir untuk abang. Kita bercinta! Ani sanggup?”

Bibir Dahnia yang kemerahan menguntumkan senyuman. Dahnia mengangguk. Alhamdulillah Ya Allah! Lestarikanlah simpulan kasih yang terbina ini dengan penuh keimanan.

No comments:

Post a Comment